Saban hari ia dilaporkan
Seolah bukan lagi perkara mengejutkan
Walhal ia bukan persoalan biasaIa persoalan hukum, persoalan balasan hari kemudian
Jiwa kecil tidak berdosa menjadi taruhan nafsu tanpa batasan
Wahai jiwa...Kembalilah kepada asalmu
Kembalilah kepada fitrah kejadianmu
Tanyalah pada diri ke mana akan dibawa masa depanmu
Andai pernah terjatuh dan tersungkur, bangunlah
Belajar agar tidak tersungkur lagi
Usah dicipta alasan untuk berubah
Usah juga akur pada lemah dan kurangnya diri
Bukankah manusia itu makhluk paling istimewa yang tercipta
Kerana padanya ada akal dan hati
Akal yang menimbang baik dan buruk
Hati yang melahirkan kehalusan jiwaHati memandu akal berfikir
Namun dalam hati perlu ada iman
Jangan dibiar tandus dan gersang
Usah juga akur pada bisikan yang melemahkan
Kerana untuk menjadi nutfah
Perlu yang terpantas, terkuat mengharung rintangan
Nah! kekuatan itu ada dalam setiap jiwa
Sayangi dirimu sebelum mengasihi orang lain
Yakinlah... Masih ada masa
Selagi roh belum terpisah dari jasad
Selagi sangkakala belum ditiupkan
Selagi pintu taubat masih terbuka
Namun, usah bertangguh
Mulakan dengan langkah pertama
Mulakan dengan nama Allah,
Dia pasti bersama
Nikmatilah usiamu
Tapi bukan dalam dosa dan noda
Berusaha bukan berdiam
Bertindak bukan menanti
Kerana syurga itu mahal harganya
Juga
Kerana dirimu sangat berharga...
0 comments:
Post a Comment